PENGENALAN
PENGENALAN
SMU(A) BUSTANUL ARIFIN ditubuhkan berasaskan kepada Sekolah Menengah Arab Bahariah yang dibantu oleh Yayasan Islam Kelantan dan telah diistiharkan dengan rasminya pada 01 Januari 1985 sebagai SMU (A) BUSTANUL ARIFIN.
Sekolah Menengah Agama Bahariah ditubuhkan pada awal Julai 1963 dengan menumpang sementara di rumah Encik Wan Ibrahim bin Wan Mamat, di kampung Dalam Ru, Tumpat dengan pelajarnya seramai 33 orang dibawah pengawalan seorang guru selaku guru besar pertama iaitu Ustaz Hassan bin Musa. Pada tahun 1964 sekolah tersebut telah berpindah bangunan baru yang disewa khas di rumah Mandur Sulaiman di kampung Dalam Ru, Tumpat.
Penubuhan sekolah ini adalah atas desakan para ibubapa dan masyarakat setempat yang memikirkan betapa penting dan sesuainya mendirikan sebuah sekolah agama di Tumpat ini bagi memenuhi tuntutan pendidikan.
Apabila pelajar bertambah ramai dan maju, pada tahun 1965 satu bangunan baru telah didirikan. Tapaknya dikhaskan kepada YIK (JASA pada masa itu ) oleh pejabat Tanah & Jajahan Tumpat sebagai milik sementara yang terletak di tepi pantai Dalam Ru, Tumpat. Apabila bangunan tersebut siap, para pelajar telah dipindahkan ke bangunan baru yang terdiri dari 3 kelas.
Pada tahun yang sama, sekolah ini dibuka dengan rasminya oleh YAB Dato’ Menteri Besar Kelantan iaitu Dato’ Hj. Muhamad Asri bin Hj. Muda dengan diberi nama Sekolah Menengah Arab Bahariah yang sesuai dengan kedudukannya di tepi laut itu.
Pada akhir tahun 1966 dan awal 1967, banjir besar telah berlaku dan sebahagian besar bangunan ini telah roboh. Pihak Sekolah dan Jawatankuasa Kemajuan Sekolah berusaha sedaya upaya untuk membina semula bangunan sekolah bagi kemudahan pelajar mendapat pembelajaran dengan lebih sempurna.
Antara guru besar yang pernah berkhidmat di sekolah ini ialah :-
1. |
Ustaz Hassan Bin Musa |
(1963-1964) |
2. |
Ustaz Arifiin Bin Yusuf |
(1964-1968) |
3. |
Ustaz Adnan Bin Haji Said |
(1968-1970) |
4. |
Ustaz Zakaria Bin Haji Ahmad |
(1970-1973) |
5. |
Ustaz Nordin Bin Omar |
(1973-1977) |
LATAR BELAKANG
LATAR BELAKANG SMU(A) BUSTANUL ARIFIN
Sekolah Menengah Ugama (SMU) Bustanul Arifin ini bermula pertengahan tahun 1957, menumpang di sebuah madrasah Kampung Berangan yang dipunyai oleh Haji Ismail bin Omar, imam mukim Kampung Berangan ketika itu. Pengajian cara pondok diasaskan oleh Allahyarham Muhamad bin Abu Samad ( menantu Tuan Hj. Ismail ) yang dibantu oleh Allahyarham Hj. Wan Abdul Kader bin Wan Abdul Samad dan Allahyarham Ahmad bin Taib. Kelas ini diadakan tiap-tiap hari di sebelah petang selepas sembahyang zohor hinggalah ke waktu asar. Pelajaran yang diajarkan sebahagiannya mengenai fardhu ‘ain. Pelajar-pelajarnya kebanyakan lepasan darjah enam ( 6 ) sekolah kebangsaan melayu. Pengajian cara ini berlanjutan hingga tahun 1961.
Kelas yang dimulakan dengan tidak sampai 10 orang pelajar itu berkembang dengan pesat. Pada tahun 1961, Pemangku Pegawai Pelajaran Majlis Agama Islam, Allahyarham Tuan Hj. Muhamad bin Ahmad telah melawat ke madrasah ini dan didapati murid lebih daripada 100 orang.
Justeru itu, beliau mengesyorkan kepada Allahyarham Muhamad bin Abdul Samad, pengasasnya supaya ia didaftarkan di bawah naungan Majlis Agama Islam. Lantaran itu permohonan diangkat dan mendapat kebenaran dari Majlis Agama Islam Kelantan bil.697/61.
Kemudian usaha untuk mendirikan sebuah sekolah berhampiran madrasah tersebut yang mana tapaknya diwakafkan sementara oleh Tuan Hj. Ismail bin Omar dan sebahagian lagi oleh Encik Harun bin Abdul Latif.
Sistem persekolahan ini bermula pada tahun 1962 yang mempunyai dua ( 2 ) kelas dan empat orang guru iaitu :-
- Ustaz Kasim bin Husin selaku Guru Besar
- Allahyarham Mohamad bin Abdul Samad
- Allahyarham Hj. Wan Abdul Kadir bin Wan Abdul Samad
- Allahyarham Ahmad bin Taib
Pada pertengahan tahun 60an, sekolah ini mulai mendapat bantuan kewangan dari kerajaan negeri kerana kepesatan pertambahan pelajarnya. Bangunan-bangunan tambahan perlu didirikan. Hasil dari kutipan derma dan sokongan masyarakat tempatan dan organisasi akhirnya bangunan tambahan telah didirikan secara gotong royong.
Pada tahun 1969, Guru Besar pertamanya iaitu ustaz Kasim bin Husin telah melanjutkan pelajarannya ke Pusat Pengajian Islam Nilam Puri. Muhamad bin Abdul Samad telah dilantik menjadi Guru Besar yang kedua. Bilangan pelajar sekolah ini makin bertambah dari tahun ke tahun, oleh itu sehingga tahun tersebut kelasnya hingga ke darjah 7. Pada tahun 1970, Ustaz Wan Ismail bin Wan Min pula bertugas sebagai Guru Besar yang ketiga di Sekolah Menengah Arab Bustanul Arifin.
Oleh kerana pelajar semakin bertambah dari masa ke semasa, satu bangunan baru telah didirikan pada tahun 1976 bagi menampung keperluan bilik darjah. Memandangkan kemajuannya yang begitu pesat, sedangkan tapaknya hanya diwakafkan sementara sahaja maka timbullah hasrat untuk mendapatkan tapak sendiri. Pada tahun 1979, desakan daripada Guru Besar untuk mendapatkan sebidang tanah yang berhampiran dengan sekolah seluas 1.951 ekar dengan dibantu oleh nazir YIK pada ketika itu iaitu Tuan Haji Hashim bin Idris dan Pejabat Tanah Jajahan, wakil rakyat dan jawatankuasa kemajuan kampung serta orang perseorangan maka tanah bernilai RM 30,130.00 telah diperolehi.
Lawatan pertama YAB Dato’ Muhamad bin Yaakub pada bulan Julai 1980 meluluskan tapak tanah tersebut. Pada 28 Mac 1982 sekali lagi YAB Dato’ Menteri Besar datang ke sekolah ini untuk melakukan upacara meletak batu asas bangunan baru serta menyampaikan cek berharga RM 30,000.00 dari Yayasan Islam Kelantan sebagai bantuan permulaan untuk membina bangunan baru di atas tapak yang baru diambil itu.
Pada 24 Disember 1983 bantuan sebanyak RM 48,000.00 lagi telah diperolehi dari Yayasan Islam Kelantan sebagai menampung kekurangan belanja untuk menyiapkan bangunan yang sedang didirikan itu. Bantuan tambahan diterima lagi sebanyak RM 8,000.00 menjadikan jumlah jumlah bantuan keseluruhanm dari Yayasan Islam Kelantan ialah RM 86,000.00.
Bangunan baru ini mula diduduki pada hari Ahad 09 September 1984 setelah ianya siap dibina dan kemudian dirasmikan pembukaannya oleh YAB.Dato’ Mohamad bin Yaakub pada 20 September 1984 jam 4.00 petang.
Kemudian Yang Amat Berusaha Tuan Haji Mansur bin Salleh selaku pengarah YIK telah membuat satu kertas kerja ke arah pengambil alihan dan mengangkatnya ke Majlis Tertinggi Yayasan yang dipengerusikan oleh Menteri Besar sendiri pada 21 September 1984 lalu meluluskan dan bersetuju pengambil alihan sekolah ini bermula pada 01 Januari 1985.
Antara guru besar yang pernah berkhidmat di sekolah ini ialah :-
1. |
Ustaz Kasim bin Husin |
(1962-1968) |
2. |
Ustaz Muhamad bin Abdul Samad |
(1969-1970) |
3. |
Wan Ismail bin Wan Min |
(1970-1978) |
4. |
Ustaz Zainudin Bin Awang |
(1978-1982) |
5. |
Ustaz Kasim Bin Husin |
(1982-1983) |
6 |
Ustaz Yahya Bin Ngah |
(1983-1984) |
PENUBUHAN
PENUBUHAN MAAHAD TAHFIZ SAINS BUSTANUL ARIFIN
Maahad Tahfiz Sains Bustanul Arifin (MTSBA) adalah salah sebuah sekolah kawalan, di bawah pengurusan Yayasan Islam Kelantan telah diluluskan penubuhannya di dalam Mesyuarat Lembaga YIK 4/2003 bertarikh 10 Ramadhan 1424 bersamaan 5 November 2003. MTS telah mula beroperasi pada 25 Januari 2004 yang dirasmikan oleh Yang Amat Berhormat Tuan Guru, Dato’ Nik Abdul Aziz bin Nik Mat, Menteri Besar Kelantan bertempat di Dewan Teratai, Kota Darulnaim. Idea penubuhan ini adalah hasil dari cetusan pemikiran beliau sendiri yang mengharapkan wujudnya kesepaduan ilmu wahyu dengan ilmu waqice dalam kurikulum.
MTS mengambil pelajar sulung seramai 120 orang (60 lelaki dan 60 Perempuan) dan menumpang di Maahad Muhammadi Lelaki, Pengkalan Chepa dan Maahad Muhammadi Perempuan, Jalan Merbau Kota Bharu. Kemudian MTS berpindah ke Berangan, Tumpat pada awal tahun 2005 sehingga akhir 2006. Seterusnya pada 2 Januari 2007 MTS berpindah ke kampus induknya di Kampung Bendang Baru, Bukit Panau, Tanah Merah.
Maahad ini merupakan aliran tahfiz yang kedua selepas Maahad Tahfiz Al-Quran Wal Qiraat yang terletak di Pulai Chondong. Namun hala tuju dan konsepnya terdapat perbezaan, di mana Maahad Tahfiz Sains memberi penekanan kepada aliran pengajian sains dan pengajian Tahfiz Al-Quran sebagai core curriculum.